14 Mei 2010

Berita mengenai Allahyarham Encik Kassim Bin Ahmad dan Isteri

Perit terima hakikat ibu bapa mati serentak


2010/01/11 MERSING: Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian jenazah sepasang suami isteri yang maut dalam kemalangan jalan raya, Jumaat lalu di Kilometer 5, Jalan Felda Gugusan Tenggaroh-Tanjung Leman dekat sini, kelmarin.

Lebih 200 sanak-saudara dan kenalan mengiringi jenazah Ahmad Kasim, 57, dan isteri, Razimah Mohd Yasa, 51, selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Felda Tenggaroh 3 ke Tanah Perkuburan Islam Felda Tenggaroh untuk dikebumikan, kira-kira jam 2.30 petang.

Anak kedua pasangan itu, Mohd Kamal Ahmad, 31, berkata keluarganya masih diselubungi kesedihan dan terkejut dengan kejadian yang meragut nyawa kedua-dua insan tersayang itu.

Katanya, dia bersama tujuh adik-beradik lain menerima pemergian ibu bapa mereka, tetapi menyifatkan kehilangan itu sebagai sesuatu yang begitu perit, apatah lagi berlaku serentak.

“Kini saya dan abang sulung terpaksa mengambil alih tugas sebagai bapa dan ibu kepada adik-adik lain. Kami mungkin memerlukan masa lama untuk menerima keadaan ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, pasangan terbabit maut selepas Perodua Kancil dinaiki bersama dua anak mereka bertembung sebuah Proton Iswara ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Tenggaroh 3.

Akibat rempuhan kuat itu, Ahmad meninggal dunia di tempat kejadian kerana tersepit di tempat duduk pemandu manakala isterinya meninggal dunia empat jam kemudian di Hospital Mersing.



Anak perempuan mereka, Nohidayah, 10, patah tangan kanan dan Norhayati, 20, pula patah tulang pinggul dan paha kiri manakala pemandu Proton Iswara dikenali sebagai Mohd Norzairi Zubahri, 18, pula cedera parah di kepala.

Sementara itu, Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Tenggaroh 3, Madon Hamid, 53, berkata dia kehilangan rakan karib yang banyak membantunya dalam kerja kebajikan di tanah rancangan berkenaan.

Katanya, arwah suka menolong orang dalam kesusahan dan tidak pernah melepaskan peluang mengambil bahagian dalam kerja amal di tanah rancangan itu.

“Saya berjanji menjaga kebajikan anak arwah kerana itu tanggungjawab saya sebagai ketua di tanah rancangan ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan